Jelajah Pancing Kuala Lumpur Siri 5/2019
PENYERTAAN PERTAMA KALI JULANG NAMA KAMARULZAMAN MAUJUD SELAKU JUARA
Kaki pancing yang baharu pertama kali menyertai Pertandingan Memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) hari ini membuat kejutan terbesar apabila ikan yang didaratnya seberat 11.590kg tiga minit sebelum masa pertandingan berakhir telah muncul juara pertandingan itu yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir.
Kamarulzaman Maujud, 51 tahun yang bertugas sebagai juru kimpal pada awalnya kelihatan terkejut apabila ikan yang dinaikkan pada saat akhir berjaya melonjakkan namanya untuk diumum sebagai juara Siri 5 sekaligus memintas pendahulu pertandingan, Hidayat yang bercita-cita mahu menjadikan kemenangan ini sebagai modal penyertaan pertandingan akan datang.
Berikutan kejayaan ini, Kamarulzaman berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta hadiah sampingan daripada pihak penaja.
"Saya pun tidak menduga sama sekali nama saya diumumkan sebagai juara. Ini kerana selama ini saya lebih terarah mengikut rakan pancing sambil menonton pertandingan ini.
"Tambahan pula, yuran penyertaan pertandingan Jelajah Pancing KL adalah murah. Jadi saya masuk dan saya berharap pertandingan berterusan diadakan pada masa akan datang, Terima kasih DBKL" ujarnya yang bapa kepada lima cahaya mata.
Kepada pihak penganjur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), beliau yang datang dari Semenyih menaruh harapan agar pertandingan ini akan berterusan sampai bila-bila.
Hidayat yang akur ditempat kedua berjaya meraih RM3,000 selepas mendaratkan ikan patin seberat 10.500 kg manakala tempat ketiga disandang Roslan Md Yusof menerusi tarikan patin seberat 6.290 kg dan membawa pulang RM1,000.
Bagi kategori khas - ikan keli, nasib nyata menyebelahi Mohd Raziman, Fauziman dan Acing yang masing-masing menaiki podium tiga tempat teratas. Mereka memperoleh RM300, RM200 dan RM100.