IKAN patin seberat 13.730 kg nyata membawa tuah kepada pemancing muda, Bazil Shahrul Nazri yang dinobatkan sebagai juara Pertandingan Memancing Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 yang baru sahaja berakhir sebentar tadi.
Bazil yang juga lebih gemar dipanggil Din berjaya menaikkan ikan tersebut pada jam 8.59 pagi dan ia tidak dapat dipintas oleh kaki pancing lain sehingga pertandingan tamat pada jam 12 tengahari.
Tempat kedua disandang otai pancing, Yusuf Hudlar yang membawa pulang hadiah RM3,000 dengan hasil tangkapan spesis yang sama seberat 11.280 kg sementara Tam pula mengondol hadiah tempat ketiga dengan hadiah RM1,000 menerusi juga ikan patin.
Lebih 800 peserta mengambil bahagian yang diadakan di Taman Tasik Ampang Hilir anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Team Jom Kaki Pancing.
Hadiah kepada pemenang utama telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancong dan Sukan DBKL, Encik Ab Salim bin Mansor sambil disaksikan Konsultan Pertandingan, Encik Rosli bin Yahya.
Rosli ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah melahirkan rasa bangga dengan sambutan yang diterima dikalangan kaki pancing yang bukan sahaja Lembah Kelang malah turut disertai kaki pancing dari Pahang, Negeri Sembilan, Perak, Melaka dan kawasan sekitarnya.
"Saya amat gembira dengan komitmen ditunjukkan kaki pancing dalam penyertaan mereka pada JPKL yang sudah memasuki tahun ke-5," ujarnya.