Muncul juara Jelajah Pancing KL Siri 6 Tasik Ampang Hilir
Kejayaan menawan seekor ikan kaloi seberat 2.665kg telah membawa tuah buat Mohd Fadzlan Ayub apabila ditabal sebagai juara Pertandingan Memancing Jejalah Pancing Kuala Lumpur yang berlangsung di Taman Tasik Ampang Hilir hari ini.
Mohd Fadzlan yang ditemui berkata, beliau tidak menyangka sama sekali kaloi yang didaratkan pada jam 8.47 pagi itu membolehkan dia muncul juara,
"Saya tidak menyangka sama dapat menaikkan ikan kaloi dan bertahan hingga ke masa penamat.
"Pada mulanya saya ingat mata kail terkena kura-kura yang memang diketahui ada di tasik ini, namun bila ditarik semakin dekat, barulah saya perhati rupa-rupanya kaloi yang membaham umpan saya,"ujarnya.
Mohd Fadzlan yang telah menyertai Jelajah Pancing Kuala Lumpur sejak tahun lalu mengakui pernah memenangi hadiah di tempat terbawah namun kali ini impian untuk bergelar juara akhirnya termakbul jua.
Berikutan kejayaan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM7,000, Mohd Fadzlan mahu menggunakan hadiah kemenangan untuk menyelesaikan apa sahaja masalah kewangan yang dihadapinya. Selebihnya, dia mahu menggunakannya untuk keperluan peribadi.
Sementara itu, tempat kedua disandang oleh Mohd Farid Napie yang menaikkan ikan patin seberat 1.435kg manakala Wan Mohd Zahid Wan Nasir mengondol tempat ketiga menerusi hasil tangkapan haruan seberat 1.285kg pada detik penamat pertandingan.
Hadiah-hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Haji Anwar Mohd Zain.
Lebih 1,000 kaki pancing telah mengambil bahagian pada pertandingan yang memasuki tahun keenam tahun ini.