KAKI Pancing, Mat Ronie berjaya menguasai Jackpot Kolam Pancing Kampung Gua dekat Padang Tengku, Kuala Lipis apabila muncul juara dengan mengenepikan cabaran 41 peserta lain pada Sabtu lepas.
Ekoran kejayaan ini, beliau yang mendaratkan ikan patin seberat 1.9 kg membawa pulang hadiah wang tunai RM150. Manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi Jamil (patin - 1.8 kg) dan Itam (patin - 1.7 kg).
Menyentuh pertandingan itu, pengurus kolam yang dikenali sebagai Anuar berkata, sambutan terhadap pertandingan jackpot cukup menggalakkan.
"Sepanjang pertandingan ini diwujudkan, ramai kaki pancing termasuk otai-otai khususnya yang menetap di sekitar Kuala Lipis dan Gua Musang tidak pernah melepaskan peluang mengambil bahagian. Setakat ini, semuanya berjalan lancar.
Penulis yang berkesempatan menjelajah dan meneropong ketika pertandingan berlangsung sememangnya amat teruja dengan persekitaran kolam tersebut yang seolah-olah menyerupai sebuah destinasi rimba amat dikagumi berikutan lokasinya adalah sebuah bekas lombong emas.
Kolam yang terletak di kawasan Padang Tengku dan berhampiran laluan utama Kuala Lipis - Gua Musang telah diasaskan sejak dua tahun lalu hasil idea bapa kepada Anuar.